" KEBAJIKAN DIDAHULUKAN, PRESTASI KUALITI DIUTAMAKAN "

Monday, 6 February 2012

FOKUS sepenuhnya ketika menghafal

BELAJAR bukan saja memerlukan tumpuan penuh namun pemahaman mendalam mampu melonjakkan prestasi pencapaian, sekali gus membantu pelajar menjadi lebih cemerlang.

Antara aspek penting perlu diberi tumpuan ialah teknik belajar yang betul seperti membuat peta belajar, diskusi berkumpulan atau catatan fakta.

Satu lagi kaedah digemari ialah melalui hafalan namun jika tidak dilakukan dengan cara betul akan menyebabkan pelajar mudah lupa dan bertambah pening.

CARA hafalan yang betul ialah:

1. Menggunakan gambar sebagai memori
Tukarkan maklumat diperoleh dalam kelas atau kuliah kepada gambar dan membuatkan anda lebih ingat berbanding mendengar saja. Ketika guru sedang mengajar, gunakan minda anda untuk menukarkan apa yang diperkatakan kepada gambar. Ini akan menjadikan anda lebih mudah mengingati.

2. Berikan tumpuan penuh semasa menghafal.
Jangan alihkan tumpuan dengan melakukan perkara sampingan seperti menonton televisyen, mendengar radio, menghantar khidmat pesanan ringkas dan sebagainya ketika menghafal. Anda hanya membazir masa kerana akan hilang fokus.

3. Buat berulang-kali agar hafalan menjadi menjadi mantap.
Anda perlu membuat hafalan berulang kali hingga faham. Jika masih samar, ulang semula hingga benar-benar ingat dan mendapat gambaran jelas. Selepas itu tulis apa yang dihafal itu bagi memastikannya berkekalan di minda.

4. Mula belajar sejak awal.
Belajar pada saat akhir bukan saja akan membebankan otak malah membuatkannya tidak mampu menerima maklumat secara berkekalan. Anda juga akan berasa tertekan menyebabkan hafalan bercelaru.

5. Mengulang kaji sedikit-sedikit.
Hafalan tidak boleh dilakukan dalam kuantiti banyak kerana daya mengingat manusia adalah terhad. Lebih baik fokus pada sesuatu dalam kuantiti kecil selain membuat ulang kaji secara berterusan.

6. Buat nota ringkas.
Sediakan nota ringkas yang menarik serta dihiasi gambar untuk membantu anda ‘gembira’ ketika mengulang kaji.

Rujukan : http://www.hmetro.com.my/articlesTerima kasih.

MASA LAPANG .... Menghargai Satu Keuntungan

Hargai nikmat masa lapang.... 


Assalamualaikum.

Masa adalah salah sangat penting dalam kehidupan manusia. Masa yang telah lepas tidak boleh diundur kembali. Manusia akan didatangi oleh masa sibuk dan juga masa lapang. Apabila datangnya masa sibuk barulah seseorang itu akan merindui nikmat masa lapang. Ia bergantung kepada diri kita bagaimana kita menggunakan masa lapang dalam kehidupan kita supaya ia boleh memberi manfaat kepada diri. Jika kita mensia-siakan masa lapang yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah, ia boleh merugikan diri kita sendiri.

Dalam artikel ini saya akan lebih fokuskan kepada kehidupan pelajar kerana saya masih lagi sedang belajar semasa sedang menulis artikel ini. Sebagai seorang pelajar, kita akan berhadapan dengan masa sibuk seperti menghadiri kelas, melakukan tugasan, menyiapkan projek, ujian dan peperiksaan serta banyak lagi. Cuti pula adalah nikmat masa lapang yang sangat disukai oleh seorang pelajar. Ini kerana kita akan dapat berehat seketika dari kepenatan dan stress belajar.

Hargai Masa Yang Ada
Kita perlulah bijak menghargai setiap masa yang ada dalam hidup kita. Apabila berada di masa lapang kita perlu sentiasa ingat yang masa lapang ini tidak akan kekal lama. Jika kita tidak pandai menghargai masa lapang yang datang, nanti kita juga yang akan menyesal bila datangnya masa sibuk. Cuba renungkan kembali masa yang telah kita gunakan dalam kehidupan seharian. Bagaimanakah cara kita menghabiskan waktu cuti? Adakah kita seorang yang pandai menghargai masa ataupun tidak? Hanya diri kita sendiri yang mampu menilainya.

Melakukan Perkara bermanfaat
Kita boleh melakukan apa sahaja aktiviti yang kita suka lakukan jika ada masa terluang. Ia terpulang kepada diri kita masing-masing bagaimana mahu menghabiskan masa yang ada. Jika kita mempunyai banyak masa terluang berusahalah untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada diri kita seperti membaca buku dan al Quran, mendengar kuliah agama, membantu rakan-rakan dan banyak lagi. Tidak rugi melakukan perkara yang boleh memberi manfaat ini malah ilmu dalam diri kita juga boleh bertambah. Kita juga boleh mendapat banyak pahala.

Elakkan Membazir Masa
Kebanyakannya dari kita suka menghabiskan masa lapang di waktu cuti dengan menonton tv, bermain game, melayari internet dan banyak lagi. Aktiviti yang dilakukan ini tidak salah tapi jangan sampai berjam-jam ataupun berlarutan tidak tahu bila hendak berhenti. Kita perlu berhati-hati juga supaya tidak terlalai dengan aktiviti-aktiviti seharian ini. Kena pandai bahagikan masa juga supaya kita tidak terleka. Elakkan dari membazir masa dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Setiap Orang Mempunyai Masa Yang Sama
Setiap orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Tidak ada orang yang diberikan masa lebih atau kurang berbanding dengan orang lain. Apa yang membezakan setiap orang adalah bagaimana cara mereka menguruskan masa dalam hidup mereka. Orang yang tidak pandai menguruskan masa akan selalu merasakan yang masa mereka tidak pernah cukup. Gunakan masa lapang yang ada semasa cuti dengan sebaiknya untuk perkara-perkara yang baik.

Masa Yang Hilang Tidak Boleh Diganti
Masa yang telah berlalu akan tetap berlalu. Ini bermakna masa kita yang telah hilang tidak boleh diganti semula. Masa sentiasa bergerak dan tidak akan menunggu kita. Jika kita terleka maka banyak masa yang telah berlalu akan menjadi sia-sia saja. Bersyukurlah jika hari ini kita mempunyai banyak masa lapang, kerana nikmat masa lapang ini tidak akan datang selalu. Masa lapang waktu cuti kita hendaklah diuruskan dengan baik. Bukan selalu kan dapat cuti.

Masa yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah tidak ternilai harganya. Setiap detik masa adalah sangat berharga. Kita perlu menghargai setiap detik masa yang ada dalam hidup kita. Masa akan tetap berjalan walau apa pun yang berlaku. Masa tidak akan sesekali pernah menunggu kita. Kita yang perlu mengisi masa dengan segala amal kebaikan dan perkara yang bermanfaat.

Sebagai seorang pelajar, nikmat masa lapang tidak akan selalu hadir kepada kita. Hargai masa lapang yang hadir dalam hidup kita dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Waktu cuti memang sangat menyeronokkan tapi jangan kita mudah terleka setiap kali waktu cuti. Jangan mensia-siakan waktu cuti tanpa arah tujuan. Gunakan masa cuti kita dengan sebaiknya.
Penafian: Artikel/Info ini disalin dari laman webhttp://www.layarsukses.com/hargai-nikmat-masa-lapang. Pihak ADMIN CWMERLANG 5A tidak bertanggungjawab terhadap isi kandungannya.

Terima kasih.

LATIHAN CUTI MAULID 4 - 7 FEBRUARI 2012

Cuba selesaikan soalan berikut.
Terima kasih.